Mohd Amar (tiga kanan) bersama dengan Pengarah Eksekutif Go Auto, Wan Ahmad Wan Omar (tiga kiri) dan Mahadi (empat kanan) selepas Majlis MOU antara Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd dan Go Automobile Manufacturing Sdn Bhd di Kota Bharu, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR.
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Kota Bharu: Kelantan Utilities Mubaarakan Holdings Sdn Bhd (KUM) dan anak syarikatnya, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengambil inisiatif bekerjasama dengan Go Automobil Manufacturing Sdn Bhd (GAM) dalam meningkatkan kecekapan tenaga di Kelantan.

Pemangku Pengurus Besar KUM, Mahadi Mokhtar berkata, menerusi kerjasama itu membolehkan pembangunan teknologi mobiliti hijau yang cekap di loji rawatan air milik AKSB.

Katanya, sehingga kini pihak AKSB sudah banyak mengambil langkah bagi memastikan kelancaran operasi memproses merawat dan membekalkan air bersih kepada penduduk negeri itu.

"AKSB akan menukar motor dan pam loji yang lama kepada motor berkecekapan tinggi selepas tamat pembangunan dan penyelidikan (R&D).

"Kita jangkakan R&D siap sepenuhnya tahun ini dan insya-Allah penukaran motor baru dapat dilaksanakan tahun hadapan," katanya ketika ditemui selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara KUM, AKSB dan GAM di sini, petang ini.

Majlis itu disaksikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mahadi berkata, pihaknya berharap dengan kerjasama itu membolehkan AKSB menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus.

"Malah dalam perjanjian ini juga KUM bersama GAM dijangka membangunkan bas elektrik tanpa diesel dan kita akan bekerjasama dengan syarikat Cityliner.

"Untuk permulaan, kita bangunkan di laluan Kota Bharu ke Rantau Panjang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 9:41 PM