X
Kemalangan Batu 8 Jalan Durian Tunggal-Gangsa, Alor Gajah yang menyebabkan sembilan cedera. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Kemalangan Batu 8 Jalan Durian Tunggal-Gangsa, Alor Gajah yang menyebabkan sembilan cedera. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Hasbullah Azhar

Alor Gajah: Sembilan cedera dalam kemalangan membabitkan van, dua kereta dan empat motosikal di Batu 8 Jalan Durian Tunggal-Gangsa, Alor Gajah, 6 petang tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh Pegawai Bomba Kanan II Azman Dawan berkata, mangsa yang cedera membabitkan empat penumpang dan pemandu van kilang, pemandu Perodua Myvi, dua penumpang Proton Wira dan seorang penunggang motosikal.

"Kami terima panggilan kecemasan pada 6.05 petang, susulan itu sebuah jentera dan dua ambulans Unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (ERMS) dikejarkan ke lokasi.

"Turut membantu dalam operasi ini adalah dua ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan mangsa berusia lingkungan 30 hingga 40-an dibawa ke Hospital Melaka," katanya.

Sementara itu, penduduk yang juga saksi kejadian Noraidi Kamaruddin, 40, mendakwa kemalangan berlaku selepas Perodua Myvi gagal memotong kenderaan di depannya lalu bertembung dengan van kilang dan berpusing beberapa kali.

"Akibat kejadian seorang penunggang tercampak manakala motosikal ditunggang terperosok bawah Perodua Myvi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 10:50 PM