Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Seakan ada komplot yang sengaja diwujudkan untuk menghalang tiga atlet menembak daripada mewakili negara ke temasya Sukan SEA, Ogos ini.

Apakan tidak, senjata milik Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (gambar), Muslifah Zulkifli dan Nur Suryani Mohamed Taibi, diambil sejak sebulan lalu oleh Majlis Sukan Negara (MSN) tetapi hingga kini, tidak dipulangkan semula kepada ketiga-tiga atlet terbabit.

Sejak itu, mereka langsung tidak menjalani latihan kerana tidak memiliki senjata namun pada masa dimaklumkan bahawa tiga kejohanan utama termasuk kejohanan Trofi Piala Presiden T H Ally Ong bermula hari ini adalah salah satu penanda aras untuk mereka melayakkan diri ke Sukan SEA.

Ayuni yang juga pemenang pingat emas 10 meter rifle Sukan Komanwel New Delhi 2010 bergandingan dengan Suryani itu berkata, dia menunggu sehingga Jumaat lalu namun masih tiada maklum balas berhubung kedudukan senjata mereka.

“Saya memulangkan senjata pada 20 Mac lalu dan mereka (MSN) berjanji akan memulangkan semula selepas tiga hari. Namun, hingga hari ini belum ada sebarang maklumat berhubung tarikh kami dibenarkan mengambil semula senjata itu.

“Seperti ada pihak yang cuba sabotaj kami agar tidak menyertai pertandingan,” kata Ayuni.

Tiga atlet itu dilayan seperti ‘anak tiri’ selepas dibuang tanpa alasan yang kukuh daripada Program Podium, Februari lalu.

Katanya, selepas apa yang terjadi, mereka merasakan seolah-olah wujud dalang yang cuba menganiaya agar tidak dapat menyertai mana-mana pertandingan.

“Selepas digugurkan daripada Program Podium, bermacam-macam perkara yang tidak masuk akal timbul.

“Antaranya kami dimaklumkan akan dimasukkan semula dalam Program Podium jika mempunyai keputusan yang baik.

“Namun, bagaimana kami dapat hasilkan keputusan sekiranya inilah layanan yang diterima. MSN dan ISN tidak bertindak secara profesional membantu atlet,” katanya.

Ayuni, Muslifah, Suryani dan Mohd Ezuan Nasir Khan digugurkan daripada Program Podium atas alasan gagal menempatkan diri dalam kelompok ranking terbaik seperti yang ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 10:42 AM