Ahmad Tajudin (tiga kiri) diiringi Pengetua SMK Hosba, Yusri Bappu (empat kiri) beramah mesra bersama pelajar selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang di Majlis Hari Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba kali ke-28 di Dewan Semarak Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba. FOTO Sharul Hafiz Zam
Ahmad Tajudin (tiga kiri) diiringi Pengetua SMK Hosba, Yusri Bappu (empat kiri) beramah mesra bersama pelajar selepas menyampaikan anugerah pelajar cemerlang di Majlis Hari Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba kali ke-28 di Dewan Semarak Sekolah Menengah Kebangsaan Hosba. FOTO Sharul Hafiz Zam
Aizat Sharif


Kubang Pasu: Kementerian Pendidikan memperkenalkan kaedah pembelajaran dua hari seminggu di sekolah menengah harian terpilih adalah usaha memperkasakan Program Perantisan Industri Menengah Atas (PIMA) bagi mengelak masalah keciciran pelajar selepas Tingkatan Tiga.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan) Datuk Ahmad Tajudin Jab berkata, kaedah itu sudah dimulakan sejak awal bulan ini turut mempunyai jaringan dengan sektor industri.

“Ini bermaksud mereka (pelajar) bersekolah selama dua hari dan menjalani latihan industri selama tiga hari di sektor disertai mereka.

“Sekolah yang terbabit adalah dalam kalangan sekolah menengah harian di seluruh negara dan untuk permulaan, kita memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh yang bernaung di bawah Jabatan Pendidikan Gombak sebagai sekolah perintis bagi program ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang 2017 kali ke-28 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, di sini, tadi.

Tajudin berkata, seramai 25 pelajar SMK Bukit Rahman Putra menyertai sektor teknikal seperti automotif, penyelenggaraan alat pendingin hawa, motosikal, pembuatan tekstil dan perniagaan spa.

Beliau berkata, selain daripada mengelak berlakunya masalah keciciran pelajar selepas Tingkatan Tiga, program itu bertujuan memperkayakan pelajar dengan pengalaman berkhidmat dalam pelbagai industri.

“Kita memfokuskan kepada pelajar yang tidak begitu cemerlang atau berminat dalam akademik di sekolah terutama selepas Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) di mana mereka ini lebih cenderung dalam bidang teknikal atau kemahiran.

“Daripada harus menunggu sehingga tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru hendak belajar kemahiran, maka lebih baik memulakan langkah awal dalam bidang pekerjaan menerusi program ini,” katanya.

Menurutnya, melalui PIMA, pelajar didedahkan dengan suasana pekerjaan sebenar dan mempelajari etika pekerjaan, komunikasi dalam Bahasa Inggeris dan ilmu perniagaan.

“Kita menjangkakan memperluaskan lagi PIMA ini ke seluruh sekolah menegah harian terpilih di seluruh negara termasuk Kedah pada Jun hadapan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:22 PM