Jabatan PERHILITAN menjalankan operasi memindah gajah liar jantan menggunakan dua gajah denak di Kampung Kuala Balah. FOTO Mohamed Sahidi Yusof
Mohamed Sahidi Yusof


Jeli: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan memindahkan seekor gajah jantan liar ke Taman Negara, hari ini, selepas haiwan itu memusnahkan tanaman penduduk kampung di Kuala Balah, di sini.

Gajah itu dipindahkan 1 tengah hari tadi selepas usaha memujuk haiwan itu berjaya dengan menggunakan dua gajah betina yang bertindak sebagai denak.

Timbalan Ketua Unit Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang, Mohamed Khairul Adha Mat Amin berkata, dua gajah betina dikenali sebagai Aidil dan Suria dibawa dari Pusat Konservasi Sungai Deka, Terengganu untuk memujuk gajah jantan liar itu.

Katanya, gajah jantan yang mempunyai saiz tapak kaki kira-kira 30 sentimeter berjaya ditangkap PERHILITAN Kelantan di kawasan belukar di Kampung Kuala Balah, di sini, pada 4.30 pagi, Isnin lalu.

"Gajah itu ditarik naik ke atas lori dengan menggunakan khidmat dua gajah betina.

"Ini adalah kali ketiga khidmat gajah betina itu digunakan dalam operasi pemindahan dan sebelum ini ia digunakan di sekitar Terengganu," katanya ketika ditemui selepas operasi memindahkan gajah, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 5:40 PM