Antara rumah yang rosak dihempap pokok tumbang. FOTO ihsan pembaca
Antara rumah yang rosak dihempap pokok tumbang. FOTO ihsan pembaca
Amrullah Abdul Karim


Hulu Bernam: Lebih 65 rumah di Kampung Hassan dan Taman Seri Geriang di sini, rosak akibat ribut yang melanda kawasan itu, 2.30 petang tadi.

Kebanyakan rumah mengalami kerosakan bumbung, malah terdapat rumah yang dihempap pokok tumbang dan jalan terhalang disebabkan pokok tumbang.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Hassan Tam Chian Huat berkata, tindakan awal dijalankan bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) bagi memantau dan membersihkan kawasan itu.

"Ia membabitkan lima rumah di Taman Seri Geriang manakala selebihnya di Kampung Hassan yang terjejas dalam kejadian ribut itu.

"Terdapat pokok tumbang merintangi jalan dan beberapa rumah turut terputus bekalan elektrik," katanya.

Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dan sebahagian penduduk memperbaiki kerosakan rumah mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 9:49 PM