AWIENA gemar mengumpul dan memakai kostum.
AWIENA gemar mengumpul dan memakai kostum.
Redzuan Muharam


Memakai kostum di tengah panas mungkin ‘kerja gila’ bagi kebanyakan individu lebih-lebih lagi dengan suhu di negara ini.

Namun, tidak bagi Awiena Wong Alwi [email protected], 18, yang gemar mengumpul dan memakai kostum sejak enam tahun lalu.

Bagi Awiena hobinya itu biasa saja cuma kedengaran pelik dalam masyarakat di negara ini kerana lebih popular dalam kalangan remaja di Jepun.

“Saya mula tertarik dengan kostum selepas menonton siri kartun anime Jepun, Colourcloud Palace ketika berumur 12 tahun.

“Pengaruh siri kartun itu amat kuat sehingga saya pernah terbayang untuk memakai kostum dan menjadi seperti mereka walaupun tahu ia mustahil.

“Namun, ia sekadar angan-angan ketika kecil dan kini saya serius dengan hobi itu kerana minat ,” katanya yang menetap di Damansara, Selangor.

Anak sulung daripada dua beradik ini berkata kerana minat dia mengumpul wang bagi membeli kostum berkenaan daripada individu yang menjualnya di dalam talian.

Bukan setakat itu, Awiena turut mempelajari teknik solekan bagi meniru gaya karakter kostum yang diperagakannya.

“Saya mempunyai beberapa koleksi kostum namun salah satu karakter yang paling digemari adalah Harley Quinn.

“Ia kerana wataknya yang periang dan gila-gila, hampir sama dengan diri saya.

“Sebab minat juga saya sanggup mempelajari teknik solekan termasuk cara dandanan rambut di YouTube untuk mendapat­kan imej serupa dengan Harley Quinn” katanya yang pernah turut serta dalam lapan acara cosplay.

Awiena berkata, dia tidak kisah jika ada yang menganggap hobinya itu sia-sia kerana semuanya dilakukan kerana minat.

Baginya, kepuasan diri sendiri lebih penting dan dia gembira kerana mempunyai keluarga serta rakan yang memahami minatnya itu.

“Apa yang menyeronokkan dengan hobi ini apabila saya dapat meniru dan menjiwai watak digemari.

“Pada masa sama, saya dapat menambah kenalan yang mempunyai hobi sama selain peluang menambah pendapatan menerusi jualan kostum terpakai kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 6:42 AM