SHEILA
Agensi

New York: Seorang hakim di mahkamah tertinggi di New York yang juga wanita kulit hitam dan beragama Islam pertama dilantik menjadi hakim ditemui mati di Sungai Hudson, kelmarin.

Polis berkata, mayat Sheila Abdus-Salaam, 65, ditemui terapung di bahagian barat Manhattan kira-kira 1.45 petang (11.45 malam waktu Malaysia).

Mayatnya ditarik ke darat dan dia disahkan mati di tempat kejadian.

Polis kini menyiasat bagaimana Sheila berada di sungai berkenaan dan setakat ini tidak dapat dipastikan berapa lama wanita itu yang tinggal berhampiran di Harlem, hilang.

Polis juga tidak menemui sebarang tanda trauma pada mayatnya yang berpakaian lengkap.

Mayatnya dicam oleh suaminya.

Sheila yang berasal dari Washington, DC, menjadi wanita pertama keturunan Afrika dilantik menjadi hakim Mahkamah Rayuan.

Menurut Esnsaiklopedia Sejarah Politik Amerika, dia juga adalah wanita pertama beragama Islam menjadi hakim di Amerika Syarikat.

Memetik sumber yang tidak dikenali, akhbar New York Post melaporkan, Sheila dilapor hilang dari rumahnya awal kelmarin.

Dia adalah seorang daripada tujuh hakim di Mahkamah Rayuan Negeri sejak 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 9:22 AM