SEORANG  pengikut punk membaca al-Quran di pusat komuniti itu di Bandung.  - Reuters
SEORANG pengikut punk membaca al-Quran di pusat komuniti itu di Bandung. - Reuters
: PEMINAT muzik Punk menari ketika satu festival muzik punk di Bandung baru-baru ini.
: PEMINAT muzik Punk menari ketika satu festival muzik punk di Bandung baru-baru ini.
Reuters

Bandung: “Nabi Muhammad selama-lamanya,” antara kata-kata yang dilaungkan sekumpulan pemuda.

Bagaimanapun, laungan itu bukan dilakukan di masjid, sebaliknya di konsert terbuka yang dihadiri sejumlah besar peminat yang menari mengikut rentak muzik kumpulan punk Islam pertama di Indonesia.

Kumpulan berkenaan mempunyai ratusan anggota di tiga bandar terbesar di negara itu - Jakarta, Surabaya dan Bandung.

Dengan gaya rambut ‘mohawk,’ jaket kulit serta berseluar jeans, anggota kumpulan ‘Punk Muslim’ itu mendakwa mereka, seperti kumpulan rock punk asli Barat, masih bersikap memberontak dan antigolongan berkuasa.

Bagaimanapun, mereka menyuarakannya dengan menyanyikan lagu yang ada nilai Islam, seperti pembebasan Palestin dan isu sosial lain yang dihadapi Muslim seluruh dunia.

Seorang pengasasnya, Ahmad Zaki akur genre muzik punk sering dikaitkan dengan kecenderungan ke arah kelakuan buruk, tetapi dia mahu mengubahnya.

“Kami boleh menjuruskan diri kami ke arah yang lebih baik,” katanya.

Sebahagian besar anggota kumpulan itu sebelum ini menjadi artis jalanan dan berkata, mereka berubah secara mendadak selepas menyertai pergerakan berkenaan. Mereka kini digalak membentuk kugiran sendiri dan menulis lagu sendiri.

Seorang anggota yang juga bekas kaki botol, Reza Purnama berkata, dia dan yang lain kini semakin menjauhi arak sementara lagu mereka kini lebih positif.

“Masyarakat tidak lagi memandang serong kepada kami,” katanya merujuk kepada stigma terhadap golongan punk di Indonesia.

Selepas setiap konsert, penonton yang sebelum itu rancak menari dengan mengangguk-angguk kepala, akan bertafakur dan berdoa. Mereka kemudian akan mendengar ceramah - sesuatu yang pengasas kumpulan itu berharap akan dapat menyemaikan semangat keIslaman dalam kalangan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 9:41 AM