Mohd Harizan (baju biru) diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas pertuduhan menumbuk, memijak dan memukul anak lelakinya berusia sembilan tahun sehingga cedera pada Februari lalu. FOTO Muhammad Hatim Ab Manan
Mohd Hilmie Hussin


Melaka: Seorang penoreh getah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, kerana mendera anak kandungnya, Februari lalu.

Tertuduh, Mohd Harizan Itai, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperlakukan anak kandung lelakinya berusia sembilan tahun sehingga menyebabkan kecederaan dengan menggunakan tangan dan kaki, menumbuk mulut, menendang, memijak peha kiri dan memukul kepala serta pinggang hingga berdarah.

Kesalahan itu dilakukan pada jam 7.20 malam pada 3 Februari lalu di sebuah rumah di Kampung Baru Nyalas, Asahan l, Jasin.

Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan kepada mahkamah untuk tidak menawarkan jaminan kerana hubungan bapa dan anak antara mangsa dan tertuduh.

Bagaimanapun, peguam, Sulaiman Harmain yang mewakili tertuduh merayu anak guamnya dibenar jamin kerana sebelum ini diberi jaminan polis dan tidak mengapa-apakan mangsa biarpun tinggal serumah.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Ahmad Sazali menawarkan tertuduh jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 2:48 PM