Kakitangan laluan M-BIKE memapah Yam yang tiba-tiba tidak sedarkan diri di atas motosikalnya. FOTO video tular
Izlaily Nurul Ain Hussein


Gelang Patah: Seorang lelaki dipercayai mengalami serangan jantung sebelum rebah di atas motosikalnya ketika berada di laluan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-BIKE) untuk masuk ke negara ini di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Yam Kok Kong, 56, dan bekerja sebagai jurutera projek di Tuas, Singapura, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pemangku Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Deputi Superintendan M Kumarasan berkata, mangsa yang masih bujang dan bekerja di kilang membuat kotak suis elektrik itu dalam perjalanan untuk masuk ke Malaysia melalui laluan M-BIKE di kompleks berkenaan.

"Mangsa beralamat di Taman Bukit Mewah di sini dan hendak masuk ke Malaysia dari Singapura. Kejadian berlaku di laluan M-BIKE. Pegawai perubatan dari Klinik Gelang Patah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil besah siasat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, mangsa dipercayai kena serangan jantung," katanya.

Beliau berkata, tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Sejak pagi tadi, satu video berdurasi 56 saat tular di laman sosial dan turut dikongsi di aplikasi WhatsApp menunjukkan seorang penunggang motosikal yang rebah di atas motosikalnya ketika di laluan motosikal dipercayai di Link Kedua Malaysia-Singapura.

Lelaki itu dilihat sedang melakukan proses semakan dan pengesahan pasport di laluan M-BIKE, bagaimanapun apabila palang keselamatan automatik di hadapannya terbuka, mangsa tiba-tiba rebah dan motosikalnya dilihat condong ke sebelah kiri.

Seorang anggota penguat kuasa yang berada di lorong berkenaan kemudian dilihat cuba membantu dengan menolak motosikal berkenaan selepas mendapati mangsa tidak sedarkan diri.

Insiden yang berlaku menyebabkan beberapa penunggang motosikal yang lain memberhentikan motosikal mereka dan menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 6:38 PM