ABDUL Rahim Hanafi. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Ketua Polis Perak, Datuk Seri Abd Rahim Hanafi mendahului senarai lima pegawai yang dinaikkan pangkat dan pertukaran jawatan berkuatkuasa 15 Mei ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datin Asmawati Ahmad berkata, Abd Rahim akan bertukar ke Bahagian Pentadbiran Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

"Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan akan memegang jawatan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Komisioner.

"Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaakob akan memegang jawatan Timbalan Ketua Polis Perak dengan memangku pangkat Deputi Komisioner," katanya.

Beliau berkata, Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Asisten Komisioner Khalil Ariffin akan memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Operasi Darat, Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman dengan memangku pangkat Senior Asisten Komisioner.

"Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, Johor, Superintendan Rahmat Othman akan memegang jawatan Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (Perancangan Strategik) IPK Selangor dengan memangku pangkat Asisten Komisioner," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 April 2017 @ 10:10 PM