YUSOFF (kiri) berkata sesuatu kepada penyokong di Bilik Media MUSA, semalam.

Melaka: Sekurang-kurangnya 14 pemain sudah diberi surat amaran berikutan prestasi hambar Melaka United hingga terperosok ke tangga tiga terbawah Liga Super.

Timbalan Presiden Melaka United Soccer Club (MUSA) Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, surat amaran itu diberi sebelum pasukan terbabit tewas teruk 0-7 kepada Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Sebenarnya sebelum perlawanan terakhir ini, kami sudah mengambil tindakan disiplin dengan mengeluarkan surat amaran prestasi. Sebanyak 14 surat amaran sudah dikeluarkan, ada yang menerimanya buat kali pertama dan ada kali kedua.

“Kami tidak akan teragak-agak mengeluarkan surat amaran terakhir sebelum pemotongan gaji akan dibuat seperti perjanjian dalam kontrak,” katanya ditemui di Bilik Media, MUSA di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam selepas pertemuan dengan kira-kira 60 penyokong tegar pasukan itu.

Beliau memberitahu, kata dua juga sudah disuarakan pihak pengurusan kepada pemain import Ilija Spasojevic, Omid Nazari, Sergio Aguero dan Godwin Antwi dan pihaknya tidak teragak-agak menamatkan kontrak mereka jika masih gagal meningkatkan prestasi.

Dalam pada itu Mohd Yusoff, mengakui wujud beberapa kumpulan pemain dalam skuad terbabit hingga menyebabkan aksi mereka pincang.

“Saya sudah menemui semua pemain baik secara kumpulan mahupun individu dan sudah mengenal pasti punca prestasi hambar ini,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dua perlawanan terakhir sebelum liga berehat menjadi penentu buat mana-mana pemain, sama ada akan kekal atau disingkirkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 8:59 AM