ZAHARUL ketika penyerahan vinyl album Belenggu Irama, baru-baru ini.
Payatt
riadz@hmetro.com.my


Minat mendalam terhadap muzik rock tempatan mendorong seorang ahli perniagaan mencetak semula album rock popular tanah air dalam bentuk piring hitam atau vinyl.

Datuk Zaharul Annuar, 51, berkata, dia yang mengikuti perkembangan muzik rock tempatan sejak zaman persekolahan memilih album terbaik pada era itu untuk dipasarkan semula.

“Saya memang minat dengan rock sejak sekolah. Band seperti Search, Wings, Lefthanded dan Rusty Blade adalah antara yang diminati.

“Buat masa ini, hanya memilih album yang saya minati. Kebanyakannya pula memang antara album paling laris pada 1980-an dulu,” katanya.

Sejak tahun lalu, album yang dikeluarkan dalam format vinyl ialah Ikrar Perwira (Rusty Blade), Keadilan (Lefthanded), Hukum Karma (Wings) dan Belenggu Irama (Wings).

Terbaru, Zaharul bakal menerbitkan vinyl album Search iaitu Fenomena yang akan dipasarkan bulan depan.

Sebelum ini, album berkenaan dipasarkan dalam format cakera padat (CD) yang menjalani proses remastering semula di Amerika Syarikat. Ia yang dicetak 1,000 unit habis dijual dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Zaharul berkata, tujuan dia memasarkan semula album berkenaan dalam format vinyl kerana mahu memberi peluang kepada peminat memiliki vinyl penyanyi atau band kegemaran mereka yang sebelum ini hanya boleh dimiliki dalam bentuk kaset atau CD.

“Bunyi daripada vinyl pula lebih kepada bunyi yang asal iaitu analog dan ia memang disukai pengumpul tegar vinyl.

“Kebanyakan vinyl yang saya keluarkan adalah ‘reissue’ dan harganya jauh lebih murah daripada vinyl asal yang boleh mencecah ribuan ringgit,” katanya.

Menurutnya, semua vinyl berkenaan dicetak semula di Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.

Ia diedarkan syarikat milik Zaharul iaitu Dream Studio. Selain menerbit semula album tempatan dalam format vinyl, Dream Studio turut menjual pelbagai CD dan kaset artis tempatan serta antarabangsa yang sukar didapati di kedai muzik biasa.

Ia turut menjual pelbagai barangan ‘collectibles’ dan eksklusif serta diminati ramai seperti Star Wars, Marvel dan DC Comics.

Dalam pada itu, sempena Konsert Wings & Superfriends - Belenggu Irama di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini, Dream Studio turut menjual vinyl album sulung Wings iaitu Belenggu Irama.

Vinyl album berkenaan yang dicetak sebanyak 900 unit itu hadir dalam format empat warna iaitu biru, hijau, merah dan hitam.

“Sebanyak 140 keping vinyl edisi biru habis dijual pada dua malam pertama konsert itu. Kami juga menyerahkan vinyl Belenggu Irama edisi biru kepada anggota Wings yang bermain untuk album itu iaitu Awie, Syam, Eddie dan Black.

“Ia sebagai penghargaan kepada Wings sempena ulang tahun ke-30 album berkenaan,” katanya.

Zaharul berkata, vinyl berkenaan turut dijual secara eksklusif sempena Record Store Day yang disambut di seluruh dunia pada 22 April ini.

Dream Studio adalah antara dua kedai muzik di Malaysia yang terpilih menyertai Record Store Day bagi menjual vinyl yang eksklusif.

Bakal terbit album Search

Dream Studio juga melangkah setapak lagi apabila bakal menerbitkan album terbaru Search yang dijangka berada di pasaran tahun ini.

Zaharul berkata, pihaknya sudah mendapat persetujuan anggota Search untuk menghasilkan album terbaru mereka selepas album terakhir, Gothik Malam Edan pada 2006.

“Ini adalah album terbaru Search selepas 11 tahun. Search kini dalam proses menghasilkan lagu dan dijangka memasuki studio dalam masa terdekat ini.

“Kita belum memilih penerbit lagi. Kemungkinan Datuk M Nasir dan beberapa orang lagi. Kita juga tidak mahu terburu-buru kerana mahu memastikan album Search kali ini betul-betul berkualiti dan mantap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 April 2017 @ 9:47 AM