X
Agensi

London: Tottenham Hotspur melakar kemenangan ketujuh di tempat sendiri secara berturut-turut apabila membenam Bournemouth 4-0, malam tadi sekali gus merapatkan jurang mata kepada empat berbanding pendahulu Chelsea.

Spurs menguasai sebahagian besar permainan dan mendahului menerusi Mousa Dembele pada minit ke-16 dan dua minit kemudian, tuan rumah menggandakan kelebihan hasil jaringan Son Heung-Min yang mendapat umpanan Harry Kane (gambar).

Bournemouth hampir merapatkan kedudukan pada minit ke-30 tetapi hantaran lintang Junior Stanislas gagal disudahkan Benik Afobe.

Tiga minit selepas permainan babak kedua bersambung, Kane menghasilkan gol ketiga pasukannya yang juga jaringan peribadi ke-20 di peringkat liga musim ini.

Pemain gantian, Vincent Janssen yang masuk menggantikan Christian Eriksen melengkapkan aksi cemerlang Spurs menerusi gol keempat pada hujung permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 3:46 AM