Sebahagian 20 penagih yang ditahan dalam operasi AADK Bachok. FOTO ihsan AADK Bachok
Nor Amalina Alias


Bachok: Seorang lelaki berperwatakan seperti wanita antara 20 penagih dadah yang ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Bachok dalam serbuan di Kampung Sungai, Mujur dan Perupok, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Bachok Muhammad Rostam Mohd Aluwi berkata, mereka yang berusia antara 25 hingga 45 tahun itu ditahan pada jam 12 tengah hari.

Katanya, lelaki berperwatakan seperti wanita berusia 30 tahun itu cuba bersembunyi di bawah rumah dalam keadaan berkemban di Kampung Sungai.

"Hasil siasatan mendapati lelaki yang tidak bekerja itu terbabit dalam penyalahgunaan pil kuda sejak 10 tahun lalu dan pernah ditahan AADK sebanyak dua kali termasuk dalam operasi kali ini," katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati 14 daripada 20 penagih yang ditahan positif pil kuda dan Eramin 5.

Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagihan Dadah 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 8:23 PM