Reuters

London: Liverpool merampas kembali tangga ketiga Liga Perdana selepas tandukan Roberto Firmino (gambar) membantu kemenangan tipis 1-0 ke atas West Brom di laman lawan, malam tadi.

West Brom banyak mencipta peluang sepanjang babak pertama yang hambar sebelum penyerang Brazil, Firmino menanduk masuk hasil umpanan Lucas Leiva berikutan satu sepakan percuma bagi merekod gol ke-11 liga musim ini pada masa kecederaan babak pertama.

Pelawat patut menambah jaringan selepas rehat namun James Milner mensia-siakan peluang keemasan dengan merembat melepasi palang sebelum Divock Origi kecewa golnya dibatalkan kerana ofsaid.

Penjaga gol Reds, Simon Mignolet melakukan beberapa tindakan penyelamat lewat perlawanan untuk menafikan Matt Phillips namun ketika West Brom menekan pada masa kecederaan, Alberto Moreno terlepas peluang ketika pintu gol ternganga selepas penjaga gol Baggies, Ben Foster naik ketika sepakan sudut.

Liverpool kini meraih 66 mata daripada 33 perlawanan, sekalipun mereka beraksi lebih satu perlawanan berbanding Manchester City yang berada di tangga keempat dua mata di belakang. West Brom pula menghuni tangga kelapan dengan 44 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 April 2017 @ 7:24 AM