Mayat lelaki dipercayai warga asing yang ditemui di tepi Pantai 1 Telok Kemang, petang semalam. - Foto MOHD KHIDIR ZAKARIA
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Mayat seorang lelaki ditemui terdampar di tepi Pantai 1, Telok Kemang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Adzli Abu Shah berkata, mayat ditemui orang awam dalam keadaan berpakaian lengkap.

Katanya, pihaknya yang menerima maklumat pada 5 petang, bergegas ke lokasi dan pemeriksaan tidak menemui identiti pengenalan diri.

“Berdasarkan keadaannya kita percaya lelaki itu warga asing berikutan tiada suntikan BCG dan tidak menolak kemungkinan mangsa lemas,” katanya.

Adzli berkata, pihaknya percaya lelaki terbabit meninggal dunia pagi semalam dan mayatnya dibawa ke Hospital Port Dickson (HPD), di sini untuk bedah siasat.

Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 8:55 AM