Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) giat melakukan pencarian kru kapal KD Perantau yang dikhuatiri jatuh laut di perairan Bintulu, semalam.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abdul Rahman Ayob berkata, pihaknya meneruskan pencarian anggota TLDM yang dilaporkan hilang ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

"Pencarian anggota KD Perantau yang disyaki jatuh laut di perairan Bintulu masih giat dilaksanakan merangkumi keluasan pencarian 5,000 batu nautika (bn) persegi iaitu 60 bn Barat Daya dari Bintulu.

"Bagaimanapun, tiada penemuan sehingga pagi ini," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata, antara aset yang digerakkan untuk pencarian hari ini iaitu KD Selangor, KD Perantau, KD Serang dan MV Mega Bakti.

Manakala Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) turut menugaskan KM Tabah dari Bintulu ke kawasan pencarian dan pesawat Super Lynx milik TLDM serta pesawat Beechcraft B200T milik TUDM juga turut memulakan pencarian dari udara pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 10:49 AM