Sebahagian tong LPG yang dirampas. FOTO ihsan KPDNKK Kedah
Aizat Sharif


Pokok Sena: Sebanyak 120 tong Gas Petroleum Cecair (LPG) pelbagai jenama dirampas selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Negeri Kedah menyerbu stor penyimpanan serta penjualan gas LPG tidak berlesen di Pokok Sena, Kedah semalam.

Dalam ‘Ops Gasak’ yang dilaksanakan pada 10.30 pagi itu, lapan anggota KPDNKK Negeri Kedah yang diketuai oleh Penolong Pegawai Penguatkuasa, Muhamad Yusri Jamaluddin menyerbu ke premis berkenaan yang terletak di Jalan Pokok Sena setelah menerima maklumat daripada orang awam berkenaan kegiatan yang dilakukan di stor itu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Negeri Kedah, Shamsul Nizam Khalil berkata, hasil risikan selama dua minggu oleh anggotanya di kawasan berkenaan mendapati stor itu digunakan secara haram untuk menyimpan serta menjual tong gas LPG.

“Dalam serbuan berkenaan, kita menahan seorang lelaki dalam lingkungan umur 40an yang juga pemilik stor berkenaan.

“Kita mendapati, semua tong gas berkenaan dimiliki tanpa kebenaran atau lesen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, 40 daripada tong gas LPG yang dirampas didapati kosong dan selebihnya pula masih mempunyai gas serta siap sedia untuk dijual kepada orang ramai.

“Selain itu, kita turut merampas lori yang digunakan untuk mengangkut gas berkenaan dan nilai rampasan adalah dianggarkan RM15,220.

“Kita sedang menyiasat syarikat yang membekalkan LPG berkenaan dan akan mengambil tindakan terhadap pembekal itu bersabit kesalahan membekalkan LPG kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran atau lesen mengikut Peraturan 9 (2) Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.

Suspek berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusniaga barang kawalan berjadual gas LPG tanpa lesen yang sah.

Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 3:09 PM