Pasukan Hazmat melakukan pemeriksaan untuk mengesan kebocoran gas atau bahan kimia. FOTO ihsan bomba
Norizuan Shamsuddin


Petaling Jaya: Seorang pekerja ditemui pengsan berhampiran dengan lokasi kebakaran membabitkan sebuah kilang peralatan elektronik di Jalan SS8/2, di sini, 7.30 malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata, seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 dan BBP Shah Alam bersama pasukan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dikerahkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan.

Katanya, apabila tiba di lokasi, bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa pengsan akibat terhidu asap di surau yang terletak bersebelahan tempat kebakaran.

"Mangsa di hantar ke hospital bagi rawatan. Anggota berjaya memadamkan kebakaran dan pemeriksaan pasukan Hazmat dilakukan bagi mengesan kebocoran gas atau bahan kimia di lokasi.

"Hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang pencemaran udara dan cecair berlaku dan siasatan lanjut diserahkan kepada BBP Petaling Jaya," katanya menerusi satu kenyataan sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2017 @ 11:43 PM