VIOLET (tengah) bersama penjaganya Elaine Mcgrowder (kiri) dan Dolet Grant di rumahnya di Duanvale. - AP
VIOLET (tengah) bersama penjaganya Elaine Mcgrowder (kiri) dan Dolet Grant di rumahnya di Duanvale. - AP

Duanvale (Jamaica): Seorang wanita Jamaica kini menjadi manusia tertua di dunia selepas kematian Emma Morano di Itali, Sabtu lalu, pada usia 117 tahun.

Violet Brown yang juga 117 tahun lebih banyak menghabiskan masanya menebas tebu di keliling rumahnya tetapi kini dipercayai orang tertua dunia dan dia bersyukur dapat hidup selama ini.

“Ini anugerah daripada Tuhan jadi saya terima sajalah - usia yang panjang,” katanya.

Pengiktirafannya disokong dokumen yang boleh dipercayai, kata pengarah bahagian penyelidikan dan pangkalan data golongan yang hidup melebihi 100 tahun di Gerontology Research Group, Robert Young.

Kumpulan itu menghimpunkan sukarelawan yang membuat kajian terhadap manusia tertua dunia. Menurut laman webnya, Violet dilahirkan pada 10 Mac 1900.

Violet belum diisytiharkan demikian oleh Rekod Dunia Guinness - badan rasmi yang menentukan gelaran itu - tetapi kumpulan Young sering menjadi rujukannya untuk tujuan berkenaan.

Young berkata, dia sudah menemui Violet dan melihat sijil kelahirannya yang dikeluarkan pihak berkuasa Britain yang mentadbir Jamaica ketika itu.

“Dia manusia tertua dunia dengan dokumen yang diperlukan buat masa ini,” katanya.

Jurucakap Guinness, Elizabeth Montoya berkata: “Proses pengesahan memakan masa lama dan kompleks. Kami tidak akan melepaskan gelaran itu sehingga semua proses sudah dilengkapkan.”

Violet mempunyai dua penjaga dan kini tinggal bersama anak lelakinya yang berusia 97 tahun. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:08 AM