AKTIVIS mengadakan bantahan terhadap usul kerajaan Nepal menyekat hak kerakyatan anak ibu tunggal.
AKTIVIS mengadakan bantahan terhadap usul kerajaan Nepal menyekat hak kerakyatan anak ibu tunggal.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Sudah bertahun-tahun Deepti Gurung cuba mendaftarkan kelahiran kedua-dua anak perempuannya yang kini sudah remaja. Namun, sampai sekarang usahanya itu belum berjaya. Anak gadisnya masih tidak diakui sebagai warganegara Nepal walaupun dilahirkan di negara itu.

Semuanya gara-gara suaminya yang menghilang dan meninggalkan mereka anak beranak. Ibu tunggal berusia 40 tahun bagaimanapun tidak putus asa untuk terus mendapatkan kerakyatan untuk anak kesayangannya.

Kini, harapan itu semakin cerah kerana adanya peruntukan undang-undang bagi isu ini. Bagaimanapun usul Parlimen Nepal dalam pembentukan perlembagaan nasional baru untuk menyekat semua ibu tunggal daripada 'mewariskan' kerakyatan mereka kepada anak mencetuskan kemarahan rakyat terutama aktivis hak asasi.

"Ia umpama jadi pelarian di negara sendiri. Apa yang mereka lakukan ialah me­nyoal siasat, menyeksa dan memalukan wanita. Setiap kali mereka akan minta dokumen bapa, tetapi apabila bapa yang membuat permohonan kerakyatan anak, tidak pula ditanya apa-apa," kata Deepti.

Aktivis berkata, cada­ngan baru itu akan menyebabkan jutaan rakyat Nepal menjadi orang yang tiada negara dan tidak adil khususnya kepada wanita kerana ramai yang memegang status ibu tunggal.

Dalam usul berkenaan mengatakan kedua-dua ibu bapa mestilah warganegara Nepal bagi membolehkan anak mereka memohon kerakyatan yang diperlukan dalam semua urusan daripada mendapatkan lesen memandu hinggalah membuka akaun bank.

Jika diluluskan, ia akan memansuhkan akta 2006 yang mengatakan semua kanak-kanak layak mendapat kerakyatan asalkan salah seorang daripada ibu bapa mereka rakyat Nepal.

Menurut Forum Wanita, Undang-undang dan Pembangunan (FWLD), sebuah badan aktivis, langkah itu akan memberi kesan besar kepada sejuta kanak-kanak apabila lebih 90 peratus daripadanya tinggal bersama ibu.

"Di atas kertas memang­lah undang-undang ini membabitkan lelaki dan wanita. Namun, birokrat yang konservatif pandai saja mencari peluang mengeksploitasi klausa berkenaan untuk mendiskriminasi ibu tunggal," kata Subin Mulmi dari FWLD.

Walaupun undang-undang itu menetapkan pengecualikan ke atas kes tertentu seperti identiti si bapa tidak diketahui contohnya dalam kes rogol, Subin berkata beban untuk membuktikan dakwaan mereka itu masih ditanggung oleh ibu (wanita). Meskipun wanita sudah dibenarkan 'mengurniakan' kerakyatan kepada anak mereka sejak 2006, hanya segelintir saja yang berjaya berbuat demikian.

Contohnya kes Arjun Kumar Sah yang dilahirkan hasil perkahwinan campur-ibunya warganegara Nepal dan ayahnya rakyat India. Secara teori dia layak mendapat kerakyatan, tetapi sampai kini pemuda berusia 25 tahun itu masih menunggu surat yang mengesahkan dia adalah rakyat Nepal.

Dalam tempoh menunggu itu, dia terpaksa menolak banyak peluang pekerjaan kerana statusnya yang tiada negara.

"Saya dilahirkan dan dibesarkan di sini. Saya memang orang Nepal, tetapi sampai sekarang masih menunggu dokumen untuk membuktikan saya benar-benar rakyat negara ini," katanya.

Jika mengikut pengasingan sejarah, Arjun adalah daripada keturunan Madhesi, satu etnik minoriti di Nepal.

Meskipun sistem beraja sudah dilumpuhkan, politik Nepal masih dikuasai oleh lelaki Hindu berkasta tinggi dan ramai percaya mereka mahu meneruskan corak pemerintahan sekarang.

"Orang politik yang berkuasa sekarang tidak menyokong perubahan dan penambahbaikan, mereka mahu teruskan keadaan sedia ada," kata Dipendra Jha, peguam yang mengendalikan kes Arjun.

Parlimen Nepal dijang­ka mengundi tahun depan dengan tujuan utama menghapuskan ketidaksamaan hak yang sudah ratusan tahun diamalkan. Malah penggubal undang-undang dikehendaki membuat draf selepas berlaku­nya pemberontakan yang disebabkan ketidaksamaan sosial, politik dan ekonomi.

Namun aktivis berpendapat draf yang ada sekarang memberi kelonggaran untuk lelaki Nepal menganugerahkan kerakyatan kepada pasangan warga asing berbanding wanita Nepal akan hanya memanjangkan prejudis sedia ada.

"Undang-undang ini adalah hasil daripada amalan lebih mementing­kan orang lelaki yang sudah berakar umbi dalam masyarakat kami," kata seorang penggubal undang-undang, Krishna Bhakta Pokharel yang turut membantah penukaran hak kerakyatan seperti dicadangkan.

Penduduk Nepal kini keluar beramai-ramai berkempen dan membuat demonstrasi aman bagi membantah usul berkenaan. Malah mereka juga membuat bantahan secara dalam talian menerusi laman web Change.org yang berjaya mengumpulkan lebih 1,500 tanda tangan dalam tempoh seminggu ia dilancarkan.

Sementara itu, ibu tung­gal seperti Deepti berkata, mereka bimbang dan agak marah dengan usul kerajaan itu. Jika usul itu diluluskan menjadi undang-undang, bermakna tertutuplah pintu untuk anaknya mendapat kerakyatan Nepal.

"Kadangkala saya rasa wanita di sini tidak diang­gap seperti manusia, macamlah kami ini tidak ada identiti. Saya yang melahirkan anak, membesarkan mereka jadi mengapa saya tidak boleh mewariskan kerakyatan saya kepada mereka? Adakah saya bukan rakyat negara ini?" soalnya de­ngan perasaan kesal.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:01 AM