ZULHILMI (belakang) dan Hafiz di Mahkamah Sesyen Teluk Intan. FOTO Abdullah Yusof
Muhammad Apendy Issahak


Teluk Intan: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana melakukan kesalahan pengubahan wang haram membabitkan nilai kira-kira RM2.7 juta dari September 2014 hingga Januari 2015.

Tertuduh Hafiz Dahlan, 37, penjawat awam didakwa dengan tiga pertuduhan mengikut subseksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Hafiz yang bertugas sebagai pembantu pegawai teknologi makkumat dituduh melakukan kesalahan itu membabitkan wang bernilai RM1.84 juta melalui tiga transaksi dalam talian ke dalam akaun bank miliknya di Tanjung Malim dari 12 Oktober 2014 hingga 30 Januari 2015.

Seorang lagi tertuduh, peniaga dalam talian Zulhilmi Mat [email protected], 34, didakwa dengan akta sama kerana melakukan kesalahan membabitkan wang bernilai RM853,800 melalui satu transaksi dalam talian ke dalam akaun bank miliknya di Tanjung Malim antara 30 September 2014 hingga 5 Januari 2015.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua tuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Timbalan Pendakwa Raya Shafinaz Shahbudin kemudian meminta mahkamah mengenakan jumlah jaminan sebanyak RM50,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Mohd Faizi memohon mahkamah mengenakan jaminan yang minimum kerana menurutnya kedua-dua tertuduh sebelum ini sudah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Alor Setar, Kedah kerana beberapa pertuduhan pengubahan wang haram dan dikenakan wang jaminan sebanyak RM24,000 keseluruhannya.

Norita kemudian mengenakan wang jaminan sebanyak RM10,000 terhadap Hafiz bagi tiga pertuduhan dengan seorang penjamin, manakala Zulhilmi dikenakan RM5,000 juga dengan seorang penjamin.

Kes dibenarkan dipindah ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk disebut semula pada 3 Mei ini bersama beberapa tuduhan lain yang dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh berkenaan.

Pada hujung Januari 2015, pihak Malayan Banking Berhad mengesan beberapa transaksi yang mencurigakan berjumlah kira-kira RM36 juta yang dimasukkan ke dalam akaun 30 individu.

Susulan itu kesemua pemilik akaun berkenaan kini didakwa di beberapa negeri atas kesalahan pengubahan wang haram termasuk individu yang membabitkan transaksi sebanyak kira-kira RM8 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 1:34 PM