Kelindan lori putus tangan dan kaki kiri selepas treler dinaiki melanggar belakang treler lain di Kilometer 231.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara sebelum susur Pedas, pagi tadi. FOTO ihsan pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


Rembau: Kelindan lori putus tangan dan kaki kiri selepas treler dinaiki melanggar belakang treler lain di Kilometer 231.6 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, sebelum susur Pedas di sini, pagi ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa yang juga warga Myanmar berusia 30-an dan pemandu lelaki tempatan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Ibrahim Shariff berkata, lori tanpa muatan itu melanggar bahagian belakang treler membawa muatan makanan ayam yang berhenti di lorong kecemasan akibat rosak.

"Mangsa yang duduk di bahagian penumpang hadapan tersepit dan putus tangan kiri serta kaki kiri. Bagaimanapun, pemandu treler berkenaan selamat.

"Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut dan dilaporkan kritikal," katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2017 @ 6:10 PM