JELIUS (dua kiri) memberi arahan kepada pemain pada sesi latihan.

Kota Kinabalu: “Alang-alang sudah berada di suku akhir, kami akan berjuang habis-habisan,” demikian kata pengendali Sabah Jelius Ating mengulas pertemuan menentang Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Bekas pemain berusia 46 tahun itu, berkata walaupun sukar, beliau tetap berharap pemainnya mampu mengejutkan skuad Hoben Jang Hoben, sekali gus melangkah ke separuh akhir.

“Di atas kertas, memang mereka pilihan, tapi bukan semudah itu kerana kami tetap akan bermain habis-habisan untuk menang di Paroi. Dalam bola sepak, apapun boleh berlaku.

“Walaupun sasaran utama kami ketika ini adalah untuk memastikan Sabah terus kekal dalam Liga Perdana, musim depan namun kami juga tidak mahu melepaskan peluang beraksi dalam Piala FA,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Jelius berkata, walaupun berdepan Negeri Sembilan yang dianggap pasukan terkuat Liga Perdana ketika ini, ia bukan alasan untuk tidak cuba memenangi perlawanan itu.

“Saya harap pemain akan dapat menyerap tekanan dan jika mereka bermain dengan semangat juang tinggi serta sepenuh hati, tidak mustahil kami mampu melakukannya,” katanya.

Selain pertemuan Piala FA, dua pasukan ini juga sudah bertembung dalam aksi liga di Paroi yang memihak kepada tuan rumah 3-0.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 4:58 AM