JENAZAH Naufal diserahkan kepada ibunya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chepor.

Ipoh: Hasrat suami isteri menyambut ulang tahun kelahiran mereka yang ke-30 bersama anak sulung tidak kesampaian apabila bayi lelaki pasangan itu meninggal dunia selepas hampir 24 jam bertarung nyawa akibat tidak sedarkan diri ketika berada dalam jagaan pengasuh di sebuah rumah di Meru, di sini, semalam.

Muhammad Syahmi Naufal Muhammad Adam Tham, lapan bulan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) pada jam 6.21 pagi semalam.

Ibunya, Robaah Kamaruddin, 30, berkata, dia menerima panggilan telefon daripada pengasuh jam 11 pagi kelmarin yang memaklumkan anaknya dalam keadaan lemah.

Dia dan suami Muhammad Adam Tham Abdullah, 30, bergegas ke rumah pengasuh itu yang terleak berhampiran tempat kerja mereka.

Menurutnya, dia dan suami bekerja di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Meru Raya dan menghantar Naufal ke rumah pengasuh berkenaan jam 7 pagi setiap hari sejak Januari lalu.

“Pengasuh beritahu anak saya lemah dan tidak memberikan maklum balas ketika hendak diberi susu, saya dan suami terus ke rumah pengasuh, namun sebaik sampai, jiran pengasuh memberitahu anak saya dibawa ke klinik berhampiran.

“Ketika di klinik, kami mendapati anak tidak sedarkan diri serta menggunakan alat bantuan pernafasan sebelum pihak klinik menghubungi ambulans untuk menghantar Naufal ke HRPB,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik HRPB, di sini, semalam.

Robaah berkata, ketika di hospital, doktor yang merawat anaknya memberitahu ada pendarahan dalam kepala Naufal dan berada dalam keadaan tidak sedar.

Menurutnya, dia dan suami yang mempunyai tarikh lahir sama memang membuat perancangan untuk menyambut ulang tahun bersama Naufal namun reda dengan apa yang berlaku dan berharap kejadian itu bukan berunsur jenayah atau disebabkan pengasuh.

Sementara itu, difahamkan, seorang wanita yang juga pengasuh bayi lelaki berkenaan ditahan semalam bagi membantu siasatan polis sama ada membabitkan unsur kecuaian atau penderaan dan sebaliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 6:12 AM