ROZALI (tengah) menunjukkan Buku Laporan Mesyuarat Agung Luar Biasa PNHB.
ROZALI (tengah) menunjukkan Buku Laporan Mesyuarat Agung Luar Biasa PNHB.
Oleh Hafiz Ithnin


Shah Alam: Puncak Niaga Holdings Bhd (PNHB) menjual aset pengurusan airnya dengan nilai terkumpul RM1.6 bilion kepada Pengurus Syarikat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dengan pembayaran dividen keseluruhan RM543.3 juta kepada pemegang saham yang menawarkan RM1 sesaham.

Penjualan aset pengurusan air PNHB kepada Air Selangor berikutan pelaksanaan perjanjian utama yang ditandatangani pada 12 September 2014 antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri Selangor, Pengurusan Aset Air Bhd dan Air Selangor bagi perstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Pengerusi Eksekutif PNHB, Tan Sri Rozali Ismail berkata, urusan penjualan itu dapat dimuktamadkan pada 16 Januari ini mengikut syarat dan peraturan yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Beliau berkata, menerusi penjualan aset berkenaan, PNHB merancang untuk memperluaskan cabang perniagaannya yang lain dan sedia ada iaitu pengurusan air, minyak dan gas, pembinaan dan pertanian yang dilihat berpotensi untuk menyumbang kepada perolehan.

“Hasil penjualan aset itu membolehkan kami melabur kepada segmen perniagaan yang lain untuk memberi pulangan lebih baik kepada syarikat antaranya pertanian yang mana kami mempunyai nilai bank tanah mencecah RM190 juta ketika ini.

“Perniagaan minyak dan gas menyumbang antara 30 hingga 40 peratus kepada perolehan syarikat dan kami unjurkan ia akan terus menambah sekitar 10 hingga 15 peratus tahun ini,” katanya selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM), semalam.

Menerusi EGM berkenaan, PNHB telah mendapat kelulusan dalam dua perkara yang dicadangkan iaitu menjual seluruh kepentingan ekuiti dan saham terkumpul boleh pindah dalam Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan 70 peratus kepentingannya dalam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mendapat persetujuan serta kelulusan daripada semua pemegang saham PNHB termasuk pemberian dividen berkenaan.

Rozali berkata, persetujuan penjualan aset berkenaan selepas PNHB mengkaji kesan kepada operasi syarikat, kakitangan dan masa depan aset itu dijual bagi memastikan ia berada dalam keadaan positif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:30 AM