TUNKU Ismail (tengah) bersama (dari kiri) Azmi, Dzulkifli, Azam dan Hamidi. FOTO ihsan SPRM
Kalidevi Mogan Kumarappa


Kuala Lumpur: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah menyerahkan senarai nama serta butiran peribadi pemain bola sepak negara, pengadil perlawanan, pegawai pasukan termasuk juga kakitangan di dalam FAM untuk dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tindakan itu dilakukan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika menerima kunjungan hormat Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, di Johor, malam tadi.

Pertemuan itu turut dihadiri Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Di dalam pertemuan itu, Tunku Ismail menitahkan kepada SPRM untuk membantu memastikan arena sukan bola sepak negara bersih serta bebas daripada sebarang pengaruh rasuah dan salah guna kuasa.

Dzulkifli berkata, SPRM menjunjung kasih titah Tunku Ismail dan akan memberikan sokongan serta komitmen yang sepenuhnya untuk memastikan sukan bola sepak negara yang membabitkan pemain, pengadil perlawanan serta pegawai sukan bersih serta bebas daripada anasir jenayah rasuah dan salah guna kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 11:03 AM