ANTARA tong gas yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan KPDNKK
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Kemenetrian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melumpuhkan sindiket penyalahgunaan subsidi gas petroleum cecair (LPG) dengan merampas 278 tong pelbagai saiz bernilai RM76,781 di Sungai Bakap, hari ini.

Ketua Penguatkuasa KPDNKK Pulau Pinang, Mohd Nor Musa berkata, dalam serbuan 1.35 pagi, sepasukan lapan anggota penguat kuasa KPDNKK menyerbu stor berlesen menyimpan gas di Changkat Dain,Sungai Bakap.

Beliau berkata, sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa kesemua pekerja melarikan diri.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di situ, pihak kami mendapati terdapat aktiviti pemindahan gas LPG daripada tong domestik 12 kilogram (kg) dan 14 kg ke dalam tong industri 50 kg.

"Aktiviti tidak sah ini dikenali juga sebagai decanting," katanya.

Menurutnya, antara barang dirampas ialah 45 tong LPG 50 kg, 232 tong 12 kg, 1 tong 14 kg, dua unit tong ais,peralatan menimbang serta wang tunai RM4,300.

Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 21 AktaKawalan Bekalan 1974.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 11:23 AM