Norasikin Daineh


Kota Kinabalu: Keluasan pencarian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang dikhuatiri jatuh ke dalam laut di perairan Bintulu, Isinin lalu, diperluaskan kepada 8,265 batu nautika persegi, 42 batu nautika Barat Daya Bintulu.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Abul Rahman Ayob berkata, penambahan sektor G di kawasan pencarian seluas 2,640 batu nautika persegi.

"Dengan penambahan keluasan kawasan carian, TLDM berharap ia membawa hasil positif.

“Aset TLDM yang masih berada di kawasan pencarian ketika ini ialah KD Selangor, KD Perantau, KD Paus dan MV Mega Bakti selain turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu KM Semilang serta aset Pasukan Polis Marin (PPM) yang membuat pencarian di kawasan pesisiran Miri," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi itu, kru KD Perantau yang hilang, dikhuatiri jatuh laut.

Kali terakhir mangsa dilihat berada di bilik rehat KD Perantau yang membawa kira-kira 80 anak kapal pada 7.15 pagi ketika dalam pelayaran pulang ke Pangkalan TLDM Lumut dari Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 12:15 PM