Pegawai SPRM membawa Adam untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. - Foto SYARAFIQ ABD SAMAD
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini, terhadap enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu ketika proses siasatan SPRM berhubung kekayaan luar biasa dimilikinya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly, 30, didakwa memberi pernyataan palsu kepada dua Pegawai Penyiasat SPRM ketika percakapannya dirakam mengikut Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan, sumber pendapatan, hasil jualan kenderaan dan rumah banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai.

Pembelian banglo itu hasil pinjaman along sebanyak RM500,000 serta pinjaman ibu mentua dan nenek RM200,000.

Manakala bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd, dengan niat memperdaya Pegawai Penyiasat SPRM.

Dia didakwa melakukan semua perbuatan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya antara 9 pagi hingga 12.15 tengah hari, 10 Februari dan 9 pagi hingga 2 petang , 22 Februari lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613)

Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Zaidi Zainal. 

Hakim Allaudeen Ismail membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 29 Mei ini untuk sebutan semula kes.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 12:24 PM