AFP

Milan: Inter Milan mempamerkan petanda memberangsangkan dengan kehadiran pemain baru Lukas Podolski ketika mereka bangkit mengikat juara bertahan Juventus 1-1 sekali gus membantu AS Roma dalam usaha memburu kejuaraan Serie A.

Roma berterima kasih kepada gol kontroversi Davide Astori pada babak pertama ketika menang 1-0 ke atas Udinese di laman lawan.

Anak buah Rudi Garcia kini hanya satu mata di belakang pendahulu itu, yang terpaksa berkongsi mata di Turin selepas Mauro Icardi menyumbat gol pada babak kedua bagi memadamkan gol pendahuluan Carlos Tevez pada minit kelima.

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri mengeluh mengenai persembahan babak kedua dan mengakui Roma akan kekal mengancam sepanjang kempen kali ini.

“Saya fikir babak pertama satu daripada persembahan terbaik kami musim ini,” jelas Allegri.

“Bukan kali pertama Roma berada satu mata di belakang kami, jadi menang amat penting, tapi masih banyak mata yang boleh dikumpul. Roma akan memberikan saingan sengit kepada kami selepas ini.”

Jurulatih Inter, Roberto Mancini menegaskan beliau tidak berpuas hati namun yakin Inter akan melonjak ke tangga ketiga sekali gus layak ke Liga Juara-Juara.

“Masih ada baki 20 perlawanan dan saya fikir kami boleh menghapuskan defisit lapan mata. Apa yang perlu adalah peningkatan pasukan ini secepat mungkin.”

Terdahulu, jurulatih Roma, Garcia mempertahankan gol Astori selepas tandukan pemain pertahanan itu berikutan sepakan percuma Francesco Totti terkena palang gol sebelum melantun melepasi garisan gol.

Gol itu awalnya tidak disahkan oleh pegawai di garisan gol namun berikutan bantahan Roma, pengadil mengesahkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:42 AM