CHONG Wei fokus ketika menjalani latihan di Akademi Badminton Negara, semalam.
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Sebagai senior dan mewakili semua pemain negara, Datuk Lee Chong Wei mengharapkan kepimpinan baru Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dapat membawa perubahan besar dalam sukan itu.

Chong Wei berkata, tugas berat menanti Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang bakal menjawat jawatan Presiden BAM pada 29 April ini untuk mencari barisan pemain pelapis bagi menggantikan tempatnya.

“Datuk Seri Norza sudah lama bersama BAM jadi saya berharap beliau dapat membawa perubahan ketara.

“Malah, semua tahu BAM sedang mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengeluarkan lebih banyak pemain berbakat yang boleh menghasilkan keputusan membanggakan.

“Saya percaya kepimpinan Datuk Seri Norza mampu melonjakkan BAM untuk meraih lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.

Namun tegas Chong Wei, dia sendiri tidak akan lepas tangan dengan hanya melihat kepimpinan BAM baru mencari penyelesaian terbaik untuk mencari penggantinya.

“Saya tahu, BAM sekarang ini sedang berusaha keras dan sebagai pemain berpengalaman, saya harap boleh bantu apa yang boleh demi badminton negara.

“Ini bukan untuk saya, tapi negara kerana badminton antara sukan besar di negara ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai sasarannya selaku juara bertahan di Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China bermula 25 hingga 30 April ini, Chong Wei berkata, tidak semua kejohanan akan berakhir dengan kemenangan.

Begitupun, Chong Wei menegaskan dia hanya akan fokus satu demi satu perlawanan kerana kemenangan penting untuk menentukan ranking ke Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland.

“Saya tidak mahu fikir terlalu banyak dan perlu fokus. Tambahan pula lawan saya tidak jauh bezanya jika dibandingkan dengan sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:52 AM