PERALATAN yang digunakan sindiket.
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Hanya perlu bayar RM150 hingga RM350 setahun bagi membolehkan menonton semua siaran syarikat televisyen berbayar.

Itu adalah taktik sindiket yang menawarkan perkhidmatan penyiaran saluran televisyen berkenaan secara tidak sah menggunakan ‘online streaming’ dan perkongsian kad.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas sindiket terbabit berjaya dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman yang aktif menjalankan kegiatan berkenaan di seluruh negara sejak tiga tahun lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman Datuk Acryl Sani berkata, hasil siasatan dijalankan mendapati sindiket itu menjual pakej stesen berkenaan secara tidak sah kepada pelanggan dengan kos bayaran bulanan jauh lebih rendah.

“Sindiket ini dikenal pasti menggunakan kemudahan media sosial seperti Facebook sebagai saluran untuk mempromosikan khidmat berkenaan dan mencari pelanggan yang kini dipercayai sudah mencecah lebih 30,000 pengguna di seluruh negara.

“Jumlah pelanggan yang tinggi itu membolehkan sindiket berkenaan mengaut keuntungan hampir RM1 juta setiap bulan dengan tawaran pakej serendah RM150 hingga RM350 setahun sejak aktif beroperasi pada 2015,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Acryl berkata, pihaknya menjalankan Operasi Camar Tayang 1/2017 di beberapa lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Johor Bahru pada 20 dan 21 April lalu bagi mengesan kegiatan sindiket terbabit di kedua-dua kawasan berkenaan.

“Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan enam lelaki tempatan berusia antara 39 dan 53 tahun yang dipercayai anggota sindiket berkenaan dalam operasi terbabit.

“Kami turut merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk ‘live streaming’ dan perkongsian kad iaitu 12 ‘parabolic moderm’ lebih 500 ‘decoder dan kad, ‘android setup box, telefon bimbit dan komputer riba,” katanya.

Beliau berkata, semua yang ditahan direman selama tiga hari bermula 21 hingga 23 April ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987.

“Orang ramai diingatkan agar tidak terbabit dengan sebarang langganan pakej tidak sah kerana perbuatan itu menyalahi undang-undang dan boleh didakwa mengikut Akta Hak Cipta 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:35 AM