FAIL HM Digital
FAIL HM Digital
Rudy Imran Shamsudin


Kuala Lumpur: Pengarah terkenal Mamat Khalid mohon keluar dari hospital bagi membolehkan dirinya bertenang seperti mana dinasihatkan oleh doktor.

Pengarah filem popular Rock Ooo! itu dikejarkan ke hospital dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah pusat perubatan di Ampang, Selangor, Khamis lalu.

Ini berikutan dia mengalami sesak nafas sebaik selesai majlis tayangan perdana filem terbarunya di Bukit Bintang.

Ketika dihubungi, hari ini, Khalid menjelaskan dia merayu kepada pihak hospital agar membenarkan dirinya keluar bagi membolehkan dia menghilangkan tekanan.

“Doktor menjelaskan saya mengalami sesak nafas kerana tertekan dan kurang berehat.

“Oleh itu, saya meminta agar pihak hospital membenarkan saya keluar disebabkan kalau saya terus berada dalam wad, saya akan bertambah rasa tertekan,” katanya.

Mamat menafikan dia dikejarkan ke hospital disebabkan tertekan kerana memikirkan filem arahannya Lebuhraya Ke Neraka yang bakal ditayangkan kepada umum 4 Mei ini.

Mamat turut menafikan, dia dimasukkan ke ICU kerana kepenatan melayani tetamu dan teman media sebaik majlis tayangan perdana filem Lebuhraya Ke Neraka selesai.

Kata Mamat, dia langsung tidak tertekan dengan filem arahannya itu memandangkan sebaik majlis tayangan perdana selesai, semua tetamu memberikan maklum balas positif mengenai karya dihasilkan.

“Sudah menjadi rutin apabila setiap kali selesai majlis, saya dan rakan artis juga teman media akan keluar minum bersama. Alhamdulillah...rata-rata mereka sangat teruja.

“Sebagai pengarah saya sendiri memang memerlukan maklum balas daripada pada teman media dan dakwaan mengatakan perkara itu punca saya dikejarkan ke hospital adalah tidak benar,” katanya.

Bagaimanapun, Mamat akui dengan pemeriksaan doktor yang mengesahkan dia mengalami sesak nafas disebabkan badan terlalu penat.

“Seperti yang umum tahu, selain mengarah saya juga kini turut membuka restoran dan galeri seni, Sarang Art Hub di Tanjung Malim, Perak.

“Oleh itu, setiap minggu saya harus memikirkan dan mengendali beberapa acara bagi menarik pengunjung datang ke Sarang Art Hub.

“Perkara itu sebenarnya yang membuatkan saya tertekan dan kepenatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 6:18 PM