Gambar ini dirakamkan di Kuala Selangor pada 22 Ogos 2016, pada sesi pengambaran video klip Dayang Nurfaizah. FAIL Rosdan Wahid
Gambar ini dirakamkan di Kuala Selangor pada 22 Ogos 2016, pada sesi pengambaran video klip Dayang Nurfaizah. FAIL Rosdan Wahid
Rudy Imran Shamsudin


DAYANG Nurfaizah kesal dan kecewa apabila ada pihak tidak bertanggungjawab merakam rompak album terbarunya dengan memuat naik ke Youtube.

Sewaktu dihubungi, di Kuala Lumpur, hari ini, Dayang berkata, dia tidak menyangka ada pihak tergamak berbuat demikian di saat dia sedang bertungkus-lumus mempromosikan album terbaru yang menggunakan namanya sendiri sebagai judul.

“€œSaya terkejut apabila pihak media bertanyakan adakah syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd mahupun pengurusan saya membenarkan mana-mana pihak memuat naik keseluruhan lagu dalam album Dayang Nurfaizah.

“€œSedangkan Indigital Sdn Bhd hanya memuat naik video lirik single yang sedang diketengahkan iaitu Separuh Mati Ku Bercinta dan bukan keseluruhan album.

“Mengapa pula pihak saya mahu memuat naik keseluruhan album sedangkan kami sedang mempromosi dan menjualnya,” katanya.

Jelas penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu lagi, pastinya tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik album penuhnya di Youtube boleh mengganggu jualan album itu.

“€œApabila album terbaru saya tersenarai dalam 10 album paling laris di iTunes dunia dan hampir dua minggu menjuarai carta jualan secara di digital di Malaysia, saya menganggap kesedaran masyarakat kita terhadap harta intelek sudah semakin baik.

“€œBukan album saya saja mendapat sambutan malah album terbaru Datuk Sheila Majid juga.

“Menilai dari sudut itu saya menganggap industri muzik tempatan sudah kembali bangkit dengan peminat dan pendengar menunjukkan sokongan membeli album secara digital mahupun fizikal,”€ katanya.

Dayang menyifatkan mereka yang merakam rompak dan memuat naik karya didendangkan ke laman sosial, adalah individu yangtidak tahu menghormati penat lelah dan kerja keras pihak lain.

Sikap sedemikian tidak ubah seperti mencuri hak orang lain untuk kepentingan diri sendiri, apatah lagi untuk menghasilkan sesebuah album belanja yang dikeluarkan mencecah ratusan ribu ringgit dan pulangannya tidak menentu.

Tegasnya perkara seperti itu tidak boleh dibiarkan berleluasa kerana dalam jangkamasa panjang ia boleh memberi kesan buruk kepada penggiat seni dan industri muzik tempatan.

“€œSebaik mengetahui mengenai perkara itu, pihak syarikat rakaman Indigital Sdn Bhd, telah membuat laporan kepada pihak pengurusan Youtube. Alhamdullilah dan terima kasih atas tindakkan pantas dibuat dan album saya dimuat naik secara haram itu telah diblok.

“€œMungkin pihak yang memuat naik album saya di Youtube itu tidak tahu akan tindakan mereka itu adalah salah.

“Melihat daripada situasi yang berlaku bermakna kempen kesedaran terhadap harta intelek harus diperhebat terutama membabitkan golongan muda,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2017 @ 7:09 PM