UQASHA tegaskan tidak pernah ajak atau ajar Fathia buat perkara tidak baik.
Norhayati Nordin


Entah di mana silapnya, hubungan persahabatan antara dua rakan artis ini tiba-tiba menjadi perhatian. Ramai yang memperkatakan mengenainya. Bukan perkara yang baik, sebaliknya cerita negatif.

Dakwa mereka, sejak pelakon popular Fathia Latiff, 29, bersahabat baik dengan Uqasha Senrose, 25, dia telah berubah sikap.

Uqasha dituduh mempengaruhi Fathia melakukan aktiviti kurang sihat sehinggakan pelakon utama drama Menanti Februari yang sedang ditayangkan di TV3 itu bermasalah.

Sepanjang dakwaan itu hangat diperkatakan, kedua-dua artis jelita itu bagaimanapun mendiamkan diri dan enggan membalas tuduhan dibuat.

Dihubungi baru-baru ini bagi membicarakan mengenai perkara itu, Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose berkata, dia ikhlas bersahabat dengan Fathia dan hairan mengapa hubungan mereka dipersoalkan.

“Saya bukan saja boleh bersahabat baik dengan Fathia tetapi sesiapa saja yang mahu berkawan dengan saya. Takkan nak berkawan pun tak boleh? Pada saya, hubungan persahabatan kami memang ikhlas.

“Apatah lagi, saya tidak pernah mengajak atau mengajar dia (Fathia) melakukan perkara tidak baik. Salahkah kami bersahabat,” katanya.

Uqasha berkata, sebelum orang luar membuat andaian dan menuduh yang bukan-bukan mengenai persahabatannya dengan Fathia, seharusnya mereka memikirkan untuk berbuat jahat, tidak perlu menunggu untuk orang lain mempengaruhinya.

“Bukankah dalam hal seperti ini ia bergantung individu itu untuk menilai atau melakukan perkara baik atau buruk. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Ujar Uqasha, dia tidak perlu mengajak atau mengajar Fathia kerana setiap orang diberikan akal memikirkan baik dan buruk satu-satu tindakan.

Menurut pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Tundukkan Playboy Itu, apa juga tuduhan dan dakwaan orang keliling, dia tetap selesa berkawan rapat dengan Fathia kerana pelakon popular itu sentiasa ada di kala dia susah mahupun senang.

“Fathia sudah saya anggap bukan saja sahabat, malah kakak dan ahli keluarga.

“Fathia banyak memberi tunjuk ajar pada saya untuk memperbaiki mutu lakonan, selain memberikan kata-kata nasihat untuk saya memperbaiki diri,” katanya.

Ujar Uqasha, berhadapan dengan situasi itu, dia tidak mengambil peduli mengenainya kerana apa yang penting adalah menjaga hubungan baik yang sedia terjalin antara dirinya dan Fathia.

“Terpulanglah nak cakap apa pun saya tak kesah. Lagi pun, saya tidak pernah mengganggu hidup orang lain.

“Saya senang berkawan dengan mereka yang mahu berkawan dengan saya. Bagi saya, apabila ramai orang suka dan nak kawan dengan kita, ia membawa aura positif untuk diri kita sendiri,” katanya.

Cerita pelakon kelahiran Kota Bharu itu, dia hairan dan tidak tahu mengapa ada pihak tidak menyenangi dirinya.

Tidak mahu terperangkap dalam cemuhan dan kutukan tidak membina, Uqasha menegaskan, dia kini sedang rancak mengatur karier seninya.

“Syukur tawaran berlakon tidak pernah putus. Selepas beraksi dalam drama Syurgaku Tak Sempurna arahan Michael Ang dan memegang watak antagonis saya sekali lagi dilamar Michael untuk watak hitam,” katanya.

Lebih menarik kali ini digandingkan dengan Fazura dan Fattah Amin dalam drama bersiri Hero Seorang Cinderella yang bakal ditayangkan di Astro pada 22 Mei nanti.

“Hati saya berdebar menantikan apa reaksi penonton untuk karakter antagonis, saya dalam drama Hero Seorang Cinderella.

“Apapun, terima kasih kepada Michael kerana masih lagi sudi bekerjasama dan yakin dengan bakat lakonan saya.

“Selain itu, saya gembira bergandingan dengan pelakon berbakat dan saling membantu. Apapun, saya selesa bekerja dengan Michael kerana dia tahu apa yang diinginkan untuk drama arahannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 3:06 AM