PASUKAN Kelantan berdepan hukuman pemotongan mata akibat gagal lunas tunggakan gaji pemain.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mendakwa Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sepatutnya dihukum dan bukannya pasukan yang dihimpit masalah kewangan.

Beliau berkata, badan pengelola itu gagal menjalankan tanggung jawab dalam menyalurkan dana sepatutnya kepada pasukan Liga Malaysia (Liga-M).

“Masih ramai yang tak faham soal daya maju liga. FMLLP sendiri tak faham. Benar seperti kata TMJ (Tunku Mahkota Johor) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, FMLLP sepatutnya tumpu terhadap urusan cari duit untuk liga supaya lebih berdaya maju dan pasukan dapat pulangan sepadan dengan pelaburan mereka.

“Tambahkan nilai pulangan kepada pasukan. Kongsikan pendapatan hak penyiaran dengan pasukan. Besarkan hadiah liga mengikut kedudukan prestasi. Ini tidak, FMLLP sendiri gagal capai sasaran tajaan. MP Silva (MP & Silva) yang kononnya beli hak liga tak bayar seperti dijanjikan.

“Duit hadiah mengikut kedudukan liga bayar tak menentu, hadiah Piala FA dan Piala Malaysia tak menentu, sumbangan untuk program pembangunan sekali ada sekali tidak. Sumbangan untuk pengarah teknikal pun sama. Kalau nak hukum maka penganjur yang perlu dihukum,” tegas Annuar di laman sosial media Facebook miliknya semalam.

Sebelum ini, pada 2015, pemegang hak media antarabangsa terkemuka MP & Silva memberi jaminan pulangan RM70 juta setahun kepada kerjasama selama 15 tahun yang bernilai RM1.26 bilion.

Bagaimanapun Presiden FAM Tunku Ismail sebelum ini tidak bersetuju dengan agihan 30 peratus (RM21 juta) daripada jumlah tahunan itu kepada pasukan bertanding yang dianggap kecil sedangkan FAM menerima 40 peratus (RM28 juta).

Kekurangan pendapatan menyebabkan ada pasukan seperti Kelantan mengalami masalah kewangan sehingga kemungkinan bakal dikenakan tindakan pemotongan mata kerana mempunyai kes tunggakan gaji pemain.

“Memotong mata memang mudah. Tapi dia (FMLLP) hanya menjadikan keadaan lebih parah. Akibatnya, pasukan mungkin disingkirkan ke liga bawahan. Itu boleh menyebabkan penajaan makin merosot. Pasukan menjadi miskin kerana penganjur.

“Model sekarang bergantung kepada ihsan dan kuasa individu. Tanpa individu tertentu dalam pasukan, kantung menjadi kering. Banyak pasukan bergantung kepada ihsan pemimpin negeri. Bila negeri tidak bantu, maka persatuan jatuh miskin. Siapa sangka Selangor boleh hadapi masalah?

“Fikir fikirkanlah. Jangan menjadi tikus membaiki labu,” kata Annuar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 4:21 AM