AZIZUL (tengah) pada majlis bertemu peminat, semalam.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Usaha untuk mempertahankan gelaran juara acara keirin di Kejohanan Trek Dunia di Belanda pada Februari tahun depan menjadi keutamaan Azizulhasni Awang walaupun berdepan dengan jadual padat.

Jelas The Pocket Rocketman, walaupun belum mengetahui perancangan penuh ketua jurulatih negara John Beasley, misinya adalah mengekalkan kejuaraan dunia yang dimenanginya di Hong Kong itu.

Selain Sukan SEA pada Ogos nanti, Azizulhasni bakal mengharungi jadual padat tahun depan seperti Kejohanan Berbasikal Asia (ACC), Sukan Asia, Sukan Komanwel, siri Piala Dunia dan Kejohanan Trek Dunia.

“Keutamaan saya adalah mempertahankan gelaran keirin di Kejohanan Trek Dunia tahun depan, namun pada masa yang sama tidak mengenepikan temasya seperti Sukan Asia atau Komanwel.

“Cuma kami akan merancang dengan teliti terutama apabila membabitkan siri Piala Dunia yang digunakan untuk meraih mata ke Kejohanan Trek Dunia. Kami tidak mahu membuang masa terlampau banyak dengan jarak perjalanan yang jauh. Seperti Lin Dan dalam acara badminton, saya hanya akan memilih kejohanan tertentu untuk disertai,” jelas pelumba berusia 29 tahun itu.

Tambahnya, kejayaan muncul juara dunia di Hong Kong minggu lalu tidak mengubah dirinya yang sentiasa dahagakan kejayaan dan bekerja keras.

Azizulhasni turut memaklumkan kepada Beasley hanya akan beraksi dalam acara keirin pada temasya Sukan SEA pada Ogos nanti.

“Pada Sukan SEA, saya boleh memakai baju Malaysia yang mempunyai lambang pelangi menandakan juara dunia dalam acara keirin. Ia penampilan kedua dan terakhir saya pada Sukan SEA selepas edisi 2007,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 April 2017 @ 4:26 AM