PENUNJUK perasaan mengadakan demonstrasi kerana membantah pembunuhan pelajar kewartawanan, Mashal Khan di Karachi, semalam. - AFP

Sialkot: Seorang lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad (SAW) lebih 10 tahun lalu mati ditembak mati oleh tiga wanita adik beradik Jumaat lalu.

Ketiga-tiga beradik itu dikatakan memasuki rumah bapa lelaki berkenaan, seorang bomoh, di bandar Pasrur di Sialkot, dengan alasan untuk berubat.

Sebaik berada di dalam, wanita berkenaan yang semuanya berburqa bertanya kepada bomoh itu sama ada anaknya, Fazal Abas sudah kembali ke Pakistan.

Apabila Fazal keluar dari biliknya, seorang daripada tiga beradik itu menembaknya menyebabkan dia mati di tempat kejadian.

Menurut laporan akhbar Dawn, wanita terbabit kemudian bersorak dengan berkata, mereka berjaya membunuh lelaki yang menghina Nabi Muhammad (SAW) dan Islam.

Pegawai penyiasat kes itu, Inspektor Nadeem Ashraf berkata, pihaknya menahan ketiga-tiga wanita berkenaan - Afshan Bibi, Razia Bibi dan Amna Bibi.

Mereka mendakwa sudah sekian lama menanti masa untuk membunuh Fazal.

“Mereka mahu membunuh lelaki itu pada 2004 tetapi tidak boleh melakukannya kerana mereka terlalu muda ketika itu,” kata Nadeem.

Kejadian berlaku beberapa hari selepas perusuh di Mardan, bandar di barat laut Pakistan membunuh pelajar universiti, Mohammad Mashal Khan kerana menghina Islam. Polis menahan 22 suspek berikutan kejadian itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 8:47 AM