Antara 235 tong gas LPG yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNKK
Meor Riduwan Meor Ahmad


Alor Setar: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Kedah (KPDNKK) menahan dua lelaki sebelum menyita 235 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama di dua lokasi di Kepala Batas dan Kuala Nerang, hari ini.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNKK Negeri Kedah, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan 'Ops Gasak' itu dilakukan serentak jam 5 petang di stor LPG di Bukit Pinang, Kepala Batas, di sini dan di premis LPG di Kuala Nerang, hasil risikan selama dua minggu oleh anggotanya.

Beliau berkata, dalam serbuan disertai 15 anggota penguat kuasa KPDNKK Alor Setar itu, pihaknya turut menyita sebuah lori dengan jumlah keseluruhan rampasan RM52,237.

"Hasil pemeriksaan kita dapati pemilik kedua-dua pemilik premis berusia 50-an ada dalam milikan mereka, LPG tanpa kebenaran atau lesen yang sah.

"Daripada jumlah keseluruhan rampasan, nilai LPG dianggarkan RM34,237, manakala lori dianggarkan RM18,000," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Shamsul Nizam berkata, pihaknya akan menyiasat syarikat yang membekalkan LPG terbabit dan mengambil tindakan terhadap pembekal kerana kesalahan membekalkan LPG kepada pihak yang tidak mempunyai kebenaran atau lesen mengikut Peraturan 9 (2) Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

"Kedua-dua suspek berkenaan ditahan sementara untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dengan syak munasabah untuk melakukan kesalahan mengikut Peraturan (Ÿ˜”1) Perintah Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusniaga barang kawalan berjadual gas LPG tanpa lesen yang sah.

"Jika sabit kesalahan, pemilik premis boleh didenda maksimum RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau menegaskan KPDNKK akan terus aktif membanteras kegiatan penyelewengan barangan bersubsidi terutamanya LPG.

"KPDNKK juga sentiasa mengalu-alukan maklumat dan kerjasama orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat penyelewengan dalam membantu kerajaan menangani ketirisan barangan bersubsidi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 5:59 PM