Ikhtizam Ishmat kini berusia empat bulan. FOTO ihsan Muhammad Ikhsan
Ahmad Wahide dan Siti Hajar bersama Fathiah dan tiga anak mereka. (Gambar kecil) Fathiah yang kini berusia enam bulan. FOTO ihsan Ahmad Wahide
Nabihah Kamal

 

Kuala Lumpur: Pengalaman menyambut kelahiran anak pada waktu dan tempat yang tidak dijangka pastinya pengalaman berharga dan tidak mungkin dilupakan buat seorang bapa.

Bagi penyelia tapak binaan, Ahmad Wahide Yaacob, 32, pengalaman menyambut kelahiran anak keempat, Fathiah Aishana, yang kini berusia enam bulan di Kulim, Kedah, pada 5.15 pagi 25 Oktober tahun lalu benar-benar menduga keberaniannya.

 Katanya, isterinya, Siti Hajar Kasim, 33, ketika itu bersalin di dalam tandas.

“Jadi bidan terjun sungguh. Isteri mengadu sakit dan ke tandas dan saya pula siapkan anak untuk hantar ke rumah pengasuh berhampiran.

“Sekembali saya di rumah, air ketuban isteri dah pecah. Isteri tidak boleh jalan dan tak sampai 15 minit anak saya lahir. Panik tidak terkata,” katanya.

Menurutnya, dia hampir pengsan di dalam tandas.

“Saya tidak boleh tengok darah, tambah lagi tali pusat masih bercantum dengan uri. Ngeri melihatnya.

“Ketika mencuci darah di dalam tandas saya berasa seperti nak pitam tetapi kuatkan diri untuk bawa anak dan isteri ke hospital,” katanya.

Ahmad Wahide berkata, dia tidak pernah terbayang untuk menyambut sendiri kelahiran anaknya itu.

“Isteri saya bersalin awal seminggu. Ia berlaku pantas tetapi sebagai suami perlu ada pengetahuan dalam mengendalikan hal kecemasan seperti itu,” katanya.

Menurutnya, ia pengalaman paling tidak dapat dilupakan sepanjang menjadi suami dan bapa kepada empat orang anak.   

“Tiga orang anak sebelum itu saya tidak masuk dalam bilik bersalin kerana takut darah.

“Bagaimanapun, ketika kejadian itu, saya sambut sendiri kelahiran demi nyawa anak dan isteri,” katanya.

Pemandu bas, Muhammad Ikhsan Ismail, 45, turut berkongsi pengalaman menyambut kelahiran bayi lelakinya, Ikhtizam Ishmat Muhammad Ikhsan pada 19 Januari lalu.

Gambar isterinya, Noridayu Ali, 29, sebelum itu tular di Facebook (FB) apabila melahirkan bayi lelaki apabila melahirkan bayi lelaki di dalam bas pada 1.45 tengah hari 19 Januari lalu.

“Dia (isteri) menjerit-jerit di bahagian belakang bas, apabila saya toleh, saya lihat isteri sudah lahirkan anak.

 “Kelam kabut saya berhentikan bas dan ambil tuala untuk bantu lap darah yang ada di badan anak saya,” katanya.

Menurutnya, panik dengan keadaan itu, dia terus memandu bas ke Hospital Sungai Buloh.

“Saya tidak fikir panjang, saya parkir bas di wad kecemasan untuk bawa isteri dan anak saya.

“Bukan senang untuk si isteri melahirkan anak, pengorbanan isteri besar,” katanya.

Sementara itu, Norasni Mamat, 32, pula melahirkan anak ketiganya di dalam kereta di tepi jalan pada 1.20 pagi 26 Januari lalu dengan dibantu suaminya, Hassuwari Mohd Razali, 34.

“Ketika itu saya sudah dalam perjalanan ke hospital dengan ditemani suami.

“Hampir 30 minit perjalanan, saya berasa mahu bersalin. Alhamdulillah, mudah saja saya bersalin di tepi jalan,” katanya yang tinggal di Klang.

Menurutnya, suaminya segera menghubungi hospital untuk meminta bantuan. 

“Suami hubungi hospital dan mereka ajar cara untuk persediaan ringkas untuk bayi seperti mengikat tali pusat.

“Tali tiada, saya guna riben saja sebelum ambulans datang dan bawa saya ke hospital,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 April 2017 @ 9:32 PM