GOL pertama Benteke.

Liverpool, England: Pengurus Liverpool, Juergen Klopp menegaskan pasukannya tidak akan membiarkan sasaran Liga Juara-Juara terlepas daripada genggaman mereka tanpa berjuang meskipun tewas 1-2 kepada Crystal Palace di laman sendiri.

Bekas pemain Liverpool, Christian Benteke menjaringkan dua gol buat Palace dan mengekalkan Liverpool di tangga ketiga tetapi hanya dua mata di depan Manchester City di tangga keempat dan tiga mata di depan Manchester United di tangga kelima.

Kedua-dua kelab Manchester itu mempunyai kelebihan dua perlawanan untuk merebut tiket ke Liga Juara-Juara, bermakna nasib Liverpool tidak lagi terletak di tangan mereka.

Namun Klopp percaya Reds yang akan kembali mendapatkan khidmat pemain tengah Adam Lallana untuk kunjungan ke Watford 1 Mei ini akan berjuang demi mempertahankan kedudukan mereka dalam kalangan empat kelab teratas.

“Pemain mempamerkan kesungguhan dan kini tiba masanya memperagakan aksi bola sepak serius dan fokus dengan apa yang anda perlu lakukan dan kami akan lakukannya,” kata Klopp, yang menyaksikan dua gol Benteke memadamkan kelebihan satu gol dimiliki menerusi sepakan percuma Philippe Coutinho.

“Saya tahu ramai akan berfikir ‘Oh Tuhan, Liga Juara-Juara terlepas dari tangan kami sekali lagi’.

“Hanya jika kami biarkan ia terlepas. Itu saja yang boleh kami katakan. Kami sudah lakukan segala-galanya dan akan mencuba segala-galanya.

“Tugas kami mencuba sehabis daya untuk musim ini. Jelas sekali ia bukan sesuatu yang mudah tapi ia bukan sesuatu yang mengejutkan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 8:58 AM