HENRI (kiri) bersama keluarganya sebelum mereka dibunuh. - Agensi
HENRI (kiri) bersama keluarganya sebelum mereka dibunuh. - Agensi

Cape Town: Seorang lelaki berusia 22 tahun yang juga anak keluarga berada mengaku tidak bersalah semalam atas tuduhan membunuh ibu bapa dan abangnya menggunakan kapak, dua tahun lalu.

Henri van Breda didakwa membunuh abangnya Rudi, 21, serta ibu, Teresa, 55, dan bapa, Martin, 54, selain menyerang adik perempuannya Marli.

Marli terselamat walaupun mengalami kecederaan parah pada kepala, tengkuk dan lehernya.

Kejadian berlaku pada 27 Januari 2015 di rumah keluarga itu di kawasan padang golf eksklusif berhampiran Cape Town di mana mereka tinggal apabila pulang ke Afrika Selatan selepas beberapa tahun tinggal di Australia.

Henri mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bunuh dan satu cubaan membunuh.

Dalam kenyataan dibacakan peguamnya Pieter Botha semalam, Henri mendakwa seorang lelaki bertopeng memasuki rumah mereka dan menyerang keluarganya menggunakan kapak.

Ketika itu, katanya, dia di dalam tandas bermain dengan telefon bimbitnya.

Dia mendakwa menjerit meminta bantuan selepas melihat Rudi diserang dan bapanya dikatakan turut ditetak ketika cuba membantu adiknya itu.

Dia mendakwa pengsan selepas itu.

Mayat mereka ditemui di dalam bilik, manakala Teresa ditemui di balkoni bilik tidurnya.

Marli yang ketika itu berusia 16 tahun koma susulan serangan dan hilang ingatan, manakala tertuduh sendiri cuma mengalami luka ringan yang dipercayai dilakukannya sendiri.

Namun, dia dijangka mampu memberi keterangan terhadap abangnya itu.

Henri ditahan selepas menyerah diri kepada polis 18 bulan kemudian. Sepanjang tempoh itu, polis gagal menemui suspek lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 9:04 AM