Razali (tengah) bersama penaja pada sidang media Francais Malaysia 2017 di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Industri francais tempatan mampu mencatatkan sumbangan sepuluh peratus atau RM50 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 jika pemain industrinya mengikuti beberapa langkah strategik dalam perniagaan.

Sebelum ini, industri berkenaan disasarkan untuk menyumbang RM35 bilion atau 4.4 peratus kepada KDNK menjelang 2020 dan setakat tahun lalu, ia sudah mencatatkan sekitar RM26.6 bilion.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Razali Othman berkata, antara yang boleh dilaksanakan ialah pihak berkuasa industri itu mengkategorikan pemain industri mengikut prestasi bagi memudahkan saluran bantuan selain menyediakan program khusus untuk mereka.

Beliau berkata, antara kategori yang boleh diperkenalkan ialah pemain industri dikategorikan mengikut kumpulan iaitu permulaan, sederhana dan maju.

“Selain itu, kerajaan juga berharap supaya francais induk dapat menawarkan perniagaan francaisi dengan kos yang lebih rendah bagi menjadikan perniagaan mereka lebih mampu milik dan dapat disertai oleh ramai peserta.

“Pada masa sama, kita tahu perniagaan ini banyak disertai oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Justeru, kita perlu menarik lebih ramai PKS menyertainya. Namun perkara ini hanya pandangan peribadi saya,” katanya pada majlis taklimat media Francais Malaysia 2017 (FIM 2017), di sini, semalam.

FIM 2017 yang memasuki edisi ke-24 dianjurkan oleh KPDNKK dan Persatuan Francais Malaysia (FIM) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada 12 hingga 14 Mei.

FIM 2017 menyasarkan 105 penyertaan pemamer dan setakat ini, 81 pemamer sudah mengesahkan mengambil bahagian. Acara itu juga menyasarkan RM370 juta transaksi perniagaan berbanding RM371 juta pada tahun lalu.

FIM 2017 disertai pemain industri francais asing dari Thailand, Amerika Syarikat, Australia, Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Filipina.

Razali berkata, pihaknya juga menggalakkan lebih ramai golongan Bumiputera menyertai industri francais memandangkan ketika ini, peratusannya masih rendah berbanding bukan Bumiputera.

“Saya difahamkan hanya 27 peratus perniagaan francais di negara ini dimiliki Bumiputera dan mereka boleh menyertainya dengan menerokai sektor berpotensi seperti teknologi maklumat (ICT) dan perkhidmatan kerana ia masih belum banyak diterokai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 5:28 AM