PANDELELA
SITI RAHMAH
LATIF
CHONG WEI
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Kejutan dijangka berlaku pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2016 malam ini dengan enam calon lelaki dan wanita akan bersaing untuk merebut gelaran Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan.

Bagi Anugerah Olahragawan Kebangsaan, atlet paralimpik negara Abdul Latif Romly melakar kejutan apabila tersenarai antara enam nama akhir selepas kejayaan cemerlangnya meraih emas di Rio pada 11 September lalu.

Lebih membanggakan kejayaan yang diraihnya dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) diiiringi dengan tiga rekod dunia bermula dengan jarak 7.47 meter, disusuli 7.54m sebelum menamatkan lompatan dengan jarak 7.60m bagi meleburkan rekod lama 7.35m.

Sekiranya terpilih sebagai juara, atlet berusia 19 tahun itu bakal sebaris dengan pemenang terdahulu seperti Datuk Lee Chong Wei, Azizulhasni Awang serta pemenang tahun lalu, Mohd Al Jufferi Jamari yang turut tersenarai kali ini.

Dua lagi atlet yang tersenarai adalah juara bina badan dunia dan Asia 2016, Syahrul Azman Mahen Abdullah dan pemenang perak Kejohanan Bowling Perseorangan Dunia, Rafiq Ismail.

Ratu terjun negara Pandelela Rinong yang meraih perak di Sukan Olimpik Rio menjadi calon utama mempertahankan gelaran Anugerah Olahragawati Kebangsaan yang dimenanginya tahun lalu.

Dia bersama Cheong Jun Hoong memenangi perak 10m terjun seirama selain turut meraih gangsa dalam dua Siri Terjun Dunia di Beijing dan Kazan tahun lalu.

Lima lagi calon yang tersenarai adalah Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (bowling), Tan Li Lian (bina badan), Siti Rahmah Mohamed Nasir (silat) dan Aaliyah Yoong Hanifah (ski air).

Beberapa kategori lain yang dipertandingkan adalah Anugerah Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan serta Anugerah Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 5:51 AM