SAINGAN Maharaja Lawak Mega 2014 yang masuk minggu kesembilan semakin sengit dengan persembahan menarik peserta yang menggamatkan Dewan Teater Diraja Selangor, Shah Alam, Jumaat lalu menerusi tema artis jemputan.

Paling mencuit hati kemunculan watak penggali kubur dalam siri drama popular 'Tanah Kubur', Tok Adi lakonan Nasir Bilal Khan yang menjadi artis jemputan kumpulan Shiro.

Dialog jenaka yang dibawa Ajak, Shahrul serta Nasir nyata mendapat sambutan paling hangat penonton terutama gimik penutup oleh Nasir.

Oleh itu tidak hairanlah mereka mendapat undian tertinggi untuk MLM 2014 minggu kelapan.

Selain itu kumpulan Zero yang memberi persembahan memberangsangkan secara konsisten setiap minggu, tampil dengan artis jemputan Stacy.

Walaupun tidak begitu berpengalaman sebagai pelakon, kelibat Stacy tidak kekok berbalas jenaka dan persembahan mereka mendapat respon baik daripada juri serta penonton.

Satu-satunya peserta 'standup comedy', Nabil juga mendapat tepukan gemuruh penonton apabila muncul bersama penyanyi Hazama yang meniru gaya Awie, Datuk Ramli Sarip serta Datuk Jamal Abdillah.

Barisan juri iaitu Datuk Jalaluddin Hassan, Farah Quinn, Taufik Batisah dan Fazura juga berpuas hati dengan persembahan apabila memberi jumlah bintang yang banyak kepada peserta.

Zero, Nabil, Shiro, Sepahtu dan Bocey masing-masing menerima lima bintang, manakala SYJ dan Virus menerima empat bintang.

Jalor pula terpaksa berpuas hati dengan tiga bintang daripada juri.

Pada malam itu, Virus tampil dengan pelakon Amyra Rosli, SYJ (Afdlin Shauki), Zero (Stacy), Nabil (Hazama), Jalor (Ogy Datuk Ahmad Daud), Sepahtu (Kamarol Haji Yusof), Shiro (Nasir Bilal Khan) dan Bocey (Puteri Balqis).

Kumpulan SYJ, Jalor dan Virus yang berada di tangga terbawah menarik nafas lega apabila Fazura mengumumkan tiada penyingkiran dibuat malam itu.

Ketua Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani berkata reaksi penonton menunjukkan minggu berkenaan adalah yang terbaik sepanjang MLM 2014 dan akan tampil dengan tema lain minggu depan.

"Minggu depan mereka akan tampil dengan komedi seram pula. Saya juga boleh maklumkan akan ada satu lagi minggu tanpa penyingkiran untuk MLM 2014," katanya

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 11:26 AM
Digital NSTP Subscribe