Nurul Huda Kosnon


Kuala Lumpur: Sebanyak 94 plaza tol di semua lebuh raya kendalian Plus Malaysia Berhad (PLUS) beroperasi secara elektronik sepenuhnya dan tiada lagi bayaran tunai bermula hari ini.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, tiada lagi transaksi tol secara tunai akan dikendalikan dan orang ramai hanya boleh membayar tol secara elektronik dengan menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch' n Go ataupun Smart Tag yang lebih pantas dan mudah.

"Pelaksanaan fasa terakhir inisiatif transaksi tol 100 peratus elektronik ini yang membabitkan laluan Juru hingga ke Skudai di Lebuhraya Utara-Selatan dilaksanakan pada 12 tengah hari tadi.

"Langkah ini dapat membantu orang ramai membuat transaksi tol dan melalui plaza tol dengan mudah dan lebih selasa," katanya ketika ditemui pada sidang media di Plaza Tol Sungai Besi, hari ini.

Menurutnya, sistem pembayaran tol secara elektronik adalah 300 peratus lebih pantas daripada pembayaran secara tunai.

"Satu lorong Smart Tag berupaya mengendalikan kira-kira 16 kenderaan dalam tempoh satu minit atau 1,000 kenderaan setiap jam.

"Satu lorong Touch 'n Go pula boleh mengendalikan kira-kira 10 kenderaan setiap minit atau 600 kenderaan setiap jam manakala lorong tunai hanya mampu mengendalikan tiga kenderaan dalam satu minit atau 180 transaksi satu jam," katanya.

Katanya, inisiatif transaksi tol secara elektronik sepenuhnya sudah dilaksanakan secara berperingkat sejak 2008 dan ia mendapat reaksi positif daripada orang ramai.

Menurutnya, lorong jualan dan tambah nilai di plaza tol akan dibuka bagi membantu orang ramai yang tidak mempunyai kad elektronik untuk memasuki lebuh raya dan membayar tol.

"Ketika ini, terdapat lebih 9,000 lokasi tambah nilai disediakan di seluruh negara membabitkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM), stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam dan pasar raya," katanya.

Azman berkata, orang ramai yang mempunyai kad PLUSMiles atau kad Touch 'n Go dinasihatkan supaya menambah nilai kad masing-masing sebelum memasuki lebuh raya untuk menikmati perjalanan lebih selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 4:14 PM
Pengguna yang melalui plaza tol di seluruh Malaysia menggunakan transaksi tanpa tunai atau 100 peratus elektronik yang berkuat kuasa bermula hari ini. FOTO Rasul Azli Samad