CNN

Minneapolis (Amerika Syarikat): Seorang remaja perempuan melakar sejarah dalam dunia tinju apabila dibenarkan berhijab ketika mengambil bahagian dalam perlawanan rasmi USA Boxing.

Selepas bertahun menunggu, Amaiya Zafar, 16, bakal bertanding dalam perlawanan rasmi pertamanya, hujung minggu ini, menurut Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR).

CAIR bersama Amaiya dan keluarganya mengemukakan petisyen kepada Persatuan Tinju Amerika Syarikat (AS) untuk pengecualian agama dalam polisinya.

Minggu lalu, peninju amatur ini akhirnya berjaya mendapat pengecualian ketika bertanding di perlawanan tempatan daripada Persatuan Tinju AS.

Amaiya berkata, kejayaan berpihak kepada mereka yang dapat bertahan sehingga akhir.

“Jika saya tidak dapat bersaing tetapi dapat menukar peraturan supaya gadis Islam lain di Amerika Syarikat dapat mengambil bahagian, ia dianggap sebagai kemenangan.

“Ia bermula dengan seorang dan tidak kisah jika orang itu kecil. Hanya seorang sahaja yang diperlukan untuk membuat perubahan,” katanya.

Amaiya mula menceburi sukan tinju, tiga tahun lalu. Ketika bertinju, Amaiya memakai tudung, lengan panjang dan ‘leggings’ di bawah pakaian sukannya.

Bagaimanapun, dia hilang kelayakan bertanding dalam perlawanan kerana pakaiannya melanggar peraturan Persatuan Tinju AS.

Namun, lawannya ketika itu, Aliyah Charbonier tetap menghadiahkan kejuaraan itu kepadanya.

“Mengapa saya perlu berkompromi demi sukan yang saya cinta? Inilah kehidupanku,” katanya.

Kini Amaiya menyasarkan Sukan Olimpik Tokyo pada 2020.

Beliau sudah memulakan petisyen kepada Persatuan Tinju Antarabangsa untuk mengadakan pengecualian agama dalam peraturan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:47 PM
FOTO Amaiya Zafar
FOTO Amaiya Zafar